Statut Rome: Menteri Luar menghadap Agong perjelas manfaat


Keputusan Malaysia memeterai Statut Rome pada 4 Mac lalu dipersetujui Jemaah Menteri selepas berpuas hati bahawa kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong kekal terpelihara.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, ketika menjelaskan perkara itu berkata, kerajaan mengambil maklum mengenai kekhuatiran segelintir pihak bahawa Yang di-Pertuan Agong akan terdedah kepada pendakwaan jenayah di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Katanya, tanggapan sedemikian adalah salah dan dibuat tanpa kefahaman asas dalam perundangan atau perlembagaan kerana sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tugas Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

"Artikel 40 (1A) menyatakan ‘pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

"Segala tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, justeru penyertaan Malaysia ke Statut Rome tidak menjejaskan kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong.

"Mengenai Perkara 41 bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, ia tidak memberi kuasa mutlak kepada baginda untuk mengisytiharkan perang. Perkara ini perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40, iaitu Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Bersandarkan perincian mengikut Perlembagaan Persekutuan, Saifuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak bertanggungjawab terhadap empat jenayah terkutuk seperti dikenal pasti dalam dalam Artikel 5 Statut Rome, iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Tanggungjawab undang-undang untuk sebarang pengisytiharan perang, katanya, terletak pada bidang kuasa Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

"Saya turut menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa dengan menjadi negara pihak ICC, Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda, sebaliknya perubahan hanya berkaitan kepada beberapa perundangan substantif dan prosedur.

"Yang di-Pertuan Agong tidak akan menerima kesan secara peribadi selepas Malaysia menjadi negara pihak kepada ICC," katanya.

Mengulas keperluan merujuk Majlis Raja-Raja, Saifuddin berkata, langkah itu perlu dilaksanakan jika kerajaan ingin melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan membabitkan sembilan perkara, selaras Perkara 159(5) dan Perkara 38(4).

Katanya, penyertaan Malaysia ke Statut Rome bagaimanapun tidak termasuk dalam sembilan perkara terbabit, namun Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai keputusan menyertai statut berkenaan sebagai menghormati prinsip Raja Berperlembagaan.

"Selain itu, merujuk kepada Fasal (1) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 39 dengan Fasal (1) dan (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan, perkara mengenai menandatangani dan pelaksanaan Instrumen antarabangsa yang membabitkan hal ehwal luar negara termaktub mengikut kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan.

"Saya berharap dengan penjelasan ini, persoalan yang mengelirukan berkaitan perkara ini tidak timbul lagi," katanya sambil menambah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kerajaan mengemukakan pencerahan berhubung perkara berkenaan selepas selesai istiadat menghadap di Istana Negara, semalam. - Berita Harian
Powered by Blogger.