Penubuhan pasukan petugas wajib vaksin dimuktamadkan bulan ini


Laporan berhubung penubuhan pasukan petugas khas bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan imunisasi vaksin di negara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan, akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata sebaik laporan terbabit diterima, pihaknya akan memuktamadkan keputusan berhubung penubuhan pasukan petugas khas berkenaan.

"Berkenaan pasukan petugas khas, usaha itu sedang berjalan dan laporan (penubuhan) pasukan petugas khas akan dikemukakan kepada kementerian pada akhir bulan ini untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) mengenai usaha kerajaan untuk mendidik golongan antivaksin dan bila penubuhan pasukan petugas khas akan dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Dr Boon Chye berkata, kementerian sentiasa berusaha memberi penerangan dan mendidik golongan antivaksin supaya mereka mendapat maklumat dan pemahaman yang sewajarnya.

"Memang dalam usaha kita untuk meningkatkan peratusan penerima vaksin supaya mereka mendapat perlindungan dari segi imuniti kelompok. Kementerian turut mengadakan libat urus dengan pemegang taruh khususnya badan bukan kerajaan (NGO), pusat jagaan kanak-kanak dan kementerian berkaitan.

"Melalui libat urus ini, kita mendapat maklum balas penting dalam soal mewajibkan vaksin. Kita juga mendidik ibu bapa yang menolak vaksin dengan merujuk mereka kepada pakar bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sebagainya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan satu pasukan petugas khas akan digerakkan Kementerian Kesihatan bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan imunisasi vaksin di negara ini.

Pasukan itu akan diketuai Bahagian Kawalan Penyakit dan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga kementerian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata beliau sudah mengusulkan cadangan itu ke mesyuarat Kabinet dan semua langkah ke arah itu sedang dilaksanakan. - Berita Harian
Powered by Blogger.