PERKESO lapor polis individu menyamar pegawainya tipu orang awam


Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuat laporan polis berhubung tindakan individu menyamar sebagai Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan agensi itu untuk menipu orang awam bagi mendapatkan wang.


Laporan itu dibuat pegawai PERKESO, Khairul 'Ammar Hashim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 10.03 pagi semalam.



Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pihaknya mengesan nombor telefon Khairul 'Ammar digunakan oleh 'scammer' untuk menipu beberapa rakan sekerja pegawai itu.


"Modus operandi 'scammer' adalah menghubungi beberapa rakan sekerja Khairul 'Ammar dan meminta supaya sejumlah wang dipindahkan ke sebuah akaun bank milik Muhd Nur Azami Manila.


"Seorang rakannya diperdaya dan memindahkan RM500 ke akaun ini selepas diminta oleh penyamar itu atas alasan tidak boleh akses sistem perbankan dalam talian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, sejak kebelakangan ini, pihaknya menerima aduan mengenai isu penyamaran sebagai Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO terbabit dalam aktiviti penipuan.


Katanya, kegiatan pihak tidak bertanggungjawab itu mencemar nama baik PERKESO yang giat melaksanakan pelbagai program pasaran buruh aktif dalam usaha membantu Orang Berinsurans PERKESO dan rakyat kehilangan pekerjaan akibat krisis COVID-19.


"Antara aktiviti dijalankan oleh PERKESO, menerusi Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) termasuk hebahan jawatan kosong didaftarkan di Portal Pekerjaan Nasional iaitu MYFutureJobs selain edaran poster bengkel kebolehpasaran.


"Ia juga termasuk maklumat program latihan dan temu duga terbuka yang diadakan sama ada di pejabat PERKESO atau lokasi terpilih di seluruh negara.


"Dalam melaksanakan aktiviti ini, kami secara telus berkongsi nama dan nombor telefon Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO bagi memudahkan orang ramai berhubung dan mendapatkan maklumat jelas berkaitan perkhidmatan disediakan.


"Namun, penyebaran maklumat berkaitan pelbagai perkhidmatan PERKESO di media sosial menarik perhatian 'scammer' untuk menjalankan aktiviti penipuan dengan menyamar sebagai Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.


"Sila dapatkan kepastian dan membuat aduan kepada PERKESO terlebih dahulu sekiranya ada pihak tertentu yang meminta bayaran ke atas perkhidmatan disediakan oleh PERKESO," katanya.


Beliau berkata semua bantuan faedah dan perkhidmatan PERKESO kepada pencarum adalah percuma dan agensi itu tidak menggunakan orang tengah dalam menyampaikan bantuan serta perkhidmatan. - Berita Harian

Powered by Blogger.