Kawalan Pintu Masuk Negara Diperketatkan


Kawalan di semua pintu masuk negara diperketatkan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin, termasuk pelancong warga China dan India yang dikesan terus tinggal di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairil Dzaimee Daud, memaklumkan pihaknya akan mengadakan pemeriksaan teliti di sempadan negara bagi memastikan warga asing yang masuk menggunakan pas lawatan sosial mengikuti peraturan ditetapkan.
“Individu menggunakan pas terbabit wajib mempunyai tempat tinggal sepanjang tempoh berada di sini seperti hotel dan mempunyai kewangan yang kukuh bagi menampung perbelanjaan mereka.
“Malahan, mereka perlu mengemukakan sekali tiket penerbangan pulang ke negara asal sebagai syarat menggunakan pas lawatan sosial di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi Imigresen di bangunan komersial serta kediaman di Puchong, di sini, semalam.
Dalam serbuan itu, 87 warga China tanpa dokumen perjalanan yang sah dan disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian ditahan.
Mengulas lanjut mengenai operasi berkenaan, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara bagi mengesan sindiket penipuan didalangi warga asing.
Sementara itu, seramai 195,471 pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara berdaftar dalam program Back For Good (B4G) yang berakhir, semalam.
Beliau memaklumkan daripada jumlah itu, 165,040 PATI sudah dihantar pulang ke negara masing-masing.
“Setakat ini, 30,431 PATI masih menunggu untuk proses penghantaran pulang ke negara mereka. Ia bergantung kepada tarikh tiket penerbangan yang diambil.
“Lima negara yang merekodkan jumlah PATI paling ramai berdaftar dalam program ini adalah Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India dan Pakistan yang kebanyakan terdiri daripada golongan pekerja,” katanya.
Imigresen turut mengesan kewujudan ‘ulat’ yang berperanan sebagai perantara bagi mempercepatkan proses urusan pendaftaran program terbabit.
Beliau menjelaskan, lima individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing ditahan untuk diambil keterangan selepas didapati menjadi perantara atau ejen bagi urusan pendaftaran program berkenaan.
“Mereka didapati melakukan kegiatan itu (sebagai perantara) di pejabat Imigresen di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya.
Pada 18 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program B4G bermula 1 Ogos hingga 31 Disember yang bertujuan mengurangkan jumlah PATI di negara ini.
PATI berkenaan hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing serta menyerahkannya kepada pejabat Imigresen untuk diproses.
Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun RM700 dan menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu. - BERITA HARIAN 
Powered by Blogger.