Fatimah, Wanita Pertama Dilantik Pengarah JPJ


Ketua Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Fatimah Mohamed Ali Piah muncul sebagai wanita pertama dilantik menjawat jawatan Pengarah JPJ Perlis, berkuat kuasa semalam.
Fatimah menggantikan penyandangnya, Shahrul Azhar bin Mat Dali yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Seksyen Operasi JPJ dengan sesi serah tugas disempurnakan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya.
Fatimah yang juga Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) siri 1/2012 pernah terbabit dalam program pengukuhan integriti JPJ, antaranya Ketua Audit Dalaman MS ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System (ABMS), Training of Trainers (TOT) Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) JPJ.
JPJ dalam kenyataannya, hari ini, berkata Fatimah yang sudah berkhidmat selama 25 tahun itu memulakan tugasnya sebagai Penguat Kuasa Gred 17, pada 1994, sebelum dinaikkan pangkat ke Gred 29 (1999) dan Gred 41 (2009).
“Beliau pernah menyandang beberapa jawatan, antaranya ialah Ketua JPJ Cawangan Gua Musang; Pegawai Perhubungan Awam JPJ Selangor; Ketua Unit Aduan dan Siasatan Ibu Pejabat, Ketua Unit Pengukuhan Integriti Ibu Pejabat.
“Pengalaman Fatimah yang luas ini sedikit sebanyak menjadikan beliau matang dalam membuat keputusan dan berkredibiliti untuk menyandang jawatan pengarah negeri wanita yang pertama,” katanya.
Kenyataan itu menjelaskan, Fatimah yang berkelulusan Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Sistem Maklumat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) beriltizam untuk berbakti kepada JPJ, terutamanya di Perlis.
“Ini bagi memastikan JPJ terus mengorak langkah maju ke hadapan sebagai agensi penguat kuasa terulung di Malaysia,” katanya. - BERITA HARIAN 

Powered by Blogger.