Polis Tahan 3 Tokan Dadah


Polis menahan tiga lelaki disyaki pengedar serta merampas sejumlah heroin dan syabu dalam dua serbuan di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata semua suspek berusia antara 29 dan 45 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.
Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Bohor Tempoyak pada jam 8.45 malam, suspek berusia 38 tahun cuba melarikan diri, namun gagal selepas dikepung polis.
“Pemeriksaan menemui 32 paket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 100.91 gram dan satu paket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 27 gram di atas meja.
“Polis turut merampas wang tunai RM18,300 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Iqbal berkata, serbuan kedua di kawasan kebun getah di Kampung Lubuk Setol pada jam 10 malam, polis menahan dua suspek berusia 29 dan 45 tahun dan merampas heroin seberat 94.78 gram.
“Mereka dipercayai menjadikan kawasan kebun getah sebagai ‘port’ membungkus dadah selain turut bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika diserbu,” katanya.
Nilai semua dadah dirampas dianggarkan RM6,200 dan ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua lagi morfin.
Ketiga-tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERITA HARIAN 
Powered by Blogger.