Tokan Dadah Kena Cekup


Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan di Terminal Jeti Penumpang Kuah, di sini semalam bersama heroin dan syabu bernilai RM40,000.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, suspek yang berusia 29 tahun ditahan sejurus tiba di pulau peranginan ini menggunakan perkhidmatan feri.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata hasil pemeriksaan lanjut membawa penemuan heroin seberat 1.369 kilogram dan syabu seberat 150 gram disembunyikan dalam beg galas suspek.
“Hasil siasatan awal tidak menolak kemungkinan heroin bernilai RM28,000 dan syabu bernilai RM12,000 mengikut harga pasaran semasa itu cuba diedarkan kepada rangkaian pengedarannya di Pulau Langkawi.
“Suspek yang beralamat di Bandar Darul Aman, Jitra, juga didapati memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Katanya, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952. - BERITA HARIAN 

Powered by Blogger.