Sediakan Tempat Merokok Seperti Di Korea Selatan


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini mempertahankan kenyataannya sebelum ini mengenai penyediaan ruang khas merokok dengan memberi contoh pendekatan dilakukan kerajaan Korea Selatan.
Menerusi ciapan di Twitter pagi tadi, beliau melontarkan cadangan kepada orang ramai sama ada bersetuju sekiranya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan ruang merokok berkenaan.
Beliau turut berkongsi beberapa keping gambar ruang merokok terbuka dengan tempat duduk berbumbung bagi menyokong cadangannya.
“Di Korea, puntung rokok tidak dibuang merata dan mereka ada ruang khas merokok. Kebersihan dijaga dan puntung rokok tidak bersepah.
“KPKT menyokong Kementerian Kesihatan melarang merokok di tempat awam bermula 1 Januari 2020.
Jika kita sediakan ruang merokok begini anda setuju?” katanya.
Pada Ahad lalu, Zuraida menerusi satu kenyataan berkata, KPKT akan meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, menyediakan kawasan khas di lokasi yang bersesuaian untuk perokok.
Arahan itu dibuat bagi menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengeluarkan arahan larangan merokok di semua tempat makan awam bermula 1 Januari 2020.
Pengguna Twitter dalam reaksi balas kepada ciapan Zuraida, turut memberi tambahan cadangan bagi menyokong usaha penyediaan ruang khas itu dan ada juga yang berpandangan berbeza.
AS. @AkmalSafwann_ berkata, “Setuju. Tapi make sure tempat merokok ni jauh sikit dari kawasan pejalan kaki. Pejalan kaki bukannya dari kalangan orang dewasa, kadang-kadang ada anak-anak kecik (kecil) yang lalu lalang,” katanya.
Shinichi @arefyf_ pula mencadangkan supaya ruang khas yang bertutup disediakan kepada perokok sebagai usaha mendidik masyarakat lebih berdisiplin.
@amirulfaizan berkata “kenapalaa dari tempoh pengenalan tahun lepas sampai tempoh penguatkuasaan, tidak dibuat benda macam ini awal2?
Larangan merokok di semua restoran dan premis makanan akan dikuatkuasakan serta merta pada 1 Januari 2020.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye ketika mengumumkan larangan itu baru-baru ini berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM250, namun boleh dikurangkan ke RM150, jika denda itu dibayar dalam tempoh kurang daripada sebulan. - BERITA HARIAN 


Powered by Blogger.