KPLB Mahu 50 Peratus Usahawan Wanita Daftar SSM


Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meletakkan sasaran 50 peratus usahawan wanita berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tahun hadapan, berbanding 24 peratus setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata ketika ini hampir 84,000 usahawan wanita berdaftar dengan KPLB tetapi hanya 24 peratus daripadanya berdaftar dengan SSM.
Beliau berkata, ada kalangan usahawan wanita enggan mendaftar dengan SSM kerana khuatir tidak lagi menerima bantuan jika berbuat demikian.
“Minda mereka harus dibuka supaya mereka dapat berniaga lebih jauh lagi,” katanya selepas merasmikan program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selangor di sini, semalam.
Menurutnya, kesedaran harus ditingkatkan dalam kalangan usahawan wanita supaya mereka berjaya, malah sehingga mencapai status jutawan dan bukan fokus kepada pendapatan sekitar RM100 sebulan.
Rina berkata, KPLB akan berusaha mempromosi produk seni kraftangan berbentuk anyaman dan tekat tahun hadapan.
Katanya, produk berkenaan sudah wujud di Malaysia sejak sekian lama namun tidak diperkasakan.
Beliau berkata, seni kraftangan itu mendapat permintaan khususnya di platform e-dagang dan berharap lebih ramai wanita dilatih untuk mempromosi seni kraftangan terbabit. - BERNAMA / BERITA HARIAN 

Powered by Blogger.