KPDNHEP Guna 2 Akta Bendung Jualan


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menggunakan empat peruntukan dua akta bagi membendung penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang tidak menepati piawaian daripada dijual secara berleluasa secara dalam talian.
Peruntukan berkenaan ialah Seksyen 10 (1) H Akta Perlindungan Pengguna (APP); Seksyen 21 Akta Perlindungan Pengguna, Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 18 Akta Perihal Dagangan 2011.
Seksyen 10 (1) H APP menyebut tiada sesiapa boleh membuat representasi palsu atau mengelirukan bahawa barang atau perkhidmatan itu mempunyai apa-apa tajaan, kelulusan, pengendorsan, ciri-ciri pencapaian, aksesori, kegunaan.
Seksyen 21 pula menyatakan tiada seorang pun boleh membekalkan, menawarkan atau mengiklankan untuk membekalkan, barang yang tidak selamat.
Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata KPDNHEP mempunyai akta sedia ada yang akan digunakan sepenuhnya untuk membanteras penjualan CRS yang tiada ciri-ciri keselamatan.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum laporan akhbar ini semalam yang mendedahkan kerusi keselamatan mudah alih terbabit boleh didapati pada harga serendah RM18 hingga RM39.90 seunit.
“Bagaimanapun, tanggungjawab kerajaan hanya menasihat dan menguatkuasa peraturan, selebihnya pengguna terutama ibu bapa perlu buat pilihan bijak serta mengutamakan aspek keselamatan,” katanya di sini, semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Kembali Ke Sekolah bersama Econsave di Econsave Alma di sini, bagi menyampaikan bantuan keperluan persekolahan kepada 150 murid daripada keluarga kurang berkemampuan.
BH hari ini melaporkan lambakan CRS yang tidak menepati ciri piawaian keselamatan dijual secara berleluasa secara dalam talian, sekali gus mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.
Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan kerajaan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bermula 1 Januari ini.
Beliau dilaporkan berkata, langkah baharu itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.
Berdasarkan spesifikasi diberikan penjual, kerusi keselamatan mudah alih boleh digunakan untuk bayi seawal usia enam bulan hingga kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Mengulas garis panduan ditetapkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Saifuddin berkata, pihaknya tiada peruntukan perundangan khusus menerusi bidang kuasa kementerian bagi mengawal selia standard keselamatan penjualan produk CRS. - BERITA HARIAN 
Powered by Blogger.