13 Lebuh Raya, 4 Plaza Tol Beri Diskaun Krismas


Pengguna akan menikmati diskaun tol berkadar antara 10 peratus hingga 33 peratus di 13 lebuh raya dan empat plaza tol sempena sambutan Hari Krismas.
Plaza tol yang bakal memperuntukkan diskaun ialah Pantai Dalam dan (Petaling Jaya Selatan) PJS 5, masing-masing pada kadar 10 peratus ketika perayaan Krismas, berkuat kuasa jam 12 malam, Rabu ini, manakala diskaun 30 peratus selama dua hari, berakhir jam 12 tengah malam Khamis ini diberikan di plaza tol Pulau Indah.
Diskaun yang diperuntukkan syarikat konsesi lebuh raya menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada kenderaan kelas satu.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohd Shuhaimi Hassan, berkata pemberian diskaun sempena Krismas itu adalah tanda penghargaan syarikat konsesi kepada pengguna lebuh raya.
“Pengguna dinasihatkan supaya mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui semua plaza tol bagi memastikan perjalanan ke destinasi dituju sentiasa lancar.
“Rancang perjalanan lebih awal dengan mengikuti jadual cadangan waktu perjalanan disediakan syarikat konsesi, malah pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini daripada pusat pengurusan trafik LLM yang beroperasi 24 jam sehari.
“Pengguna boleh berbuat demikian menerusi talian 1800-88-7752 atau akaun Twitter @LLMinfotrafik, selain berkunjung ke mana-mana pusat khidmat pelanggan lebuh raya yang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, semalam. 
INFO
13 lebuh raya yang menawarkan diskaun
1. Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) - diskaun 33 peratus
2. Lebuhraya Cheras-Kajang (GSSB) - diskaun 30 peratus
3. Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) - diskaun 15 peratus
4. Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GSNK) - diskaun 15 peratus
5. Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) - diskaun 10 peratus
6. Lebuhraya Shah Alam (KESAS) - diskaun 10 peratus
7. Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) - diskaun 10 peratus
8. Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) - diskaun 10 peratus
9. Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) - diskaun 10 peratus
10. Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) - diskaun 10 peratus
11. Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) - diskaun 10 peratus
12. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) - diskaun 10 peratus
13. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) - diskaun 10 peratus
--BERITA HARIAN 

Powered by Blogger.