Filem Adiwira Juga Boleh Beri Inspirasi - Bront Palarae


Pelakon, Bront Palarae, menegaskan bukan semua filem berunsur komersial menyajikan hiburan ringan dan tidak memerlukan penonton berfikir mengenai mesej yang cuba disampaikan.
Katanya, filem berkonsep adiwira lakonannya, Gundala, antara contoh karya komersial yang sarat dengan pelbagai mesej di dalamnya.
“Kita sering memberikan label tertentu kepada sesebuah filem, sama ada komersial, seni atau sebagainya. Kata orang pula, apabila menonton filem komersial, tak perlu nak bawa otak atau hati ke pawagam.
“Namun, ia berbeza dengan Gundala. Walaupun bersifat komersial dan mempunyai unsur hiburan, tema serta jalan ceritanya mencerminkan isu sejagat, terutama dari segi sosio politik yang dipaparkan. Secara tidak langsung, ia memberi inspirasi kepada khalayak.
“Perisa filem ini juga bersifat ketimuran kerana ia mengutarakan isu kanak-kanak dan kekeluargaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton dan sidang media filem dari Indonesia itu, di sini.
Hadir sama pada majlis terbabit, pengarahnya, Joko Anwar, dan pelakon utama filem berkenaan, Abimana Aryasatya, Ario Bayu serta Muzzaki Ramdhan.
Gundala dibawa ke negara ini oleh syarikat milik pemegang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 itu, Pixel Play.
Mengulas wataknya sebagai Pengkor yang juga dalang mafia, Bront berkata, kecederaan dialami pada otot kaki sebelum penggambaran filem itu bermula membuatkannya sangsi apakah Joko akan meneruskan niat mengambil dirinya sebagai pelakon.
“Saya ada juga bertanyakan kepadanya, apakah dia mahu meneruskan hasrat memilih saya sebagai pelakon dalam keadaan kaki saya tercedera. Maklumlah, dia masih sempat untuk menukar pelakon jika mahu berbuat demikian. Namun, dia kekal dengan keputusan untuk melihat saya terbabit sama dalam filem itu.
“Watak dilakonkan pula memerlukan saya menjadi seorang yang cacat dari segi fizikal disebabkan kebakaran. Kecederaan pada bahagian kaki itu turut membantu gaya saya berjalan, sesuai dengan watak Pengkor yang cacat,” katanya.
Gundala akan mula ditayangkan di pawagam negara ini pada 26 Disember. - BERITA HARIAN 


Powered by Blogger.