Suami isteri berlumuran darah selepas diragut


Sepasang suami isteri cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka hilang kawalan dalam satu kejadian ragut di jejambat Jalan Suntex, Batu 9 Cheras, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzafir Mohd. Yussof berkata, pihaknya telah menerima laporan polis daripada mangsa kira-kira pukul 5.25 petang yang mendakwa telah diragut oleh dua lelaki bermotosikal.

"Menurut mangsa, kejadian berlaku selepas motosikal ditunggang mereka dihampiri oleh dua lelaki yang dipercayai warga tempatan dari arah belakang sebelum salah seorang daripada suspek bertindak meragut beg tangan milik isterinya.

"Mangsa kemudiannya cuba untuk mengejar suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna hitam namun telah hilang kawalan dan terjatuh mengakibatkan pasangan tersebut mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzafir, siasatan lanjut berhubung kejadian sedang giat dilakukan bagi mengenalpasti suspek yang terlibat serta anggaran kerugian yang ditanggung mangsa.

"Kedua-dua mangsa telahpun mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kajang dan dibenarkan pulang tidak lama kemudian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurfaezatul Akma di talian 017-5443931," jelas beliau.

Terdahulu, beberapa keping gambar berhubung kejadian ragut tersebut telah tular di laman sosial Facebook yang memaparkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Muat naik yang tular itu menyatakan kejadian berlaku di antara pukul 7 hingga 8 pagi selepas dua lelaki bermotosikal menghampiri mangsa dan meragut beg yang mengandungi dompet, 'power bank' dan telefon bimbit. - K! ONLINE
Powered by Blogger.