Harimau Malaya 'baham' Garuda di Jakarta
Penyerang skuad Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada penghujung permainan buat memastikan Malaysia meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di sini, malam tadi.
Begitupun, kelonggaran barisan pertahanan negara nyaris meragut peluang anak buah Tan Cheng Hoe yang mengidam untuk menamatkan kemarau 14 tahun tanpa kemenangan di Gelora Bung Karno yang kali terakhir dimenangi pada 2004.
Masalah persefahaman antara tonggak pertahanan ditambah dengan kepantasan jentera serangan skuad Garuda nyata gagal dihalang oleh pemain negara.
Dalam aksi itu, Cheng Hoe mengekalkan sebahagian besar tonggak ketika tewas kepada Jordan 0-1 pada aksi pemanas di Bukit Jalil, 30 Ogos lalu kecuali menyenaraikan Syafiq Ahmad dan menggantikan Muhammad Daniel Amier Norhisham.
Skuad negara yang kali terakhir 'menawan' Gelora Bung Karno pada 2004 menerusi kemenangan 2-1, dihukum seawal minit ke-12 apabila tolakan antara celah pemain menyaksilan Saddil Ramdani berjaya meloloskan diri sebelum mengumpan kepada tonggak naturalisasi dari Brazil, Alberto Goncalves di depan gawang pelawat.
Jaringan itu nyata mengamatkan Gelora Bung Karno dengan skuad kendalian Simon McMenemy terus meningkatkan tekanan untuk memburu gol tambahan.
Menyedari Hadin Azman gagal memainkan peranannya di sebelah sayap kiri negara, Cheng Hoe mengeluarkannya dan memasukkan Mohamadou Sumerah di minit ke-37.
Tidak sampai 15 saat di atas padang, Sumareh mengejutkan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan yang juga gol keempatnya di peringkat antarabangsa bersama Malaysia.
Bagaimanapun, dua minit kemudian tuan rumah kembali di depan sekali lagi menerusi Goncalves yang merembat cantik dari luar kotak penalti buat menewaskan ketua pasukan negara, Farizal Marlias.
Bersambung babak kedua, Malaysia memperkemaskan aksi dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-66 hasil hantaran tandukan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad.
Aksi rancak kedua-dua pasukan bagaimanapun terpaksa dihentikan pada minit ke-69 apabila penyokong Indonesia mula menyerang tempat duduk penyokong Malaysia.
Selain balingan botol daripada penyokong tuan rumah, penyokong Garuda turut melempar suar.
Selepas situasi 'panas' itu berjaya ditenangkan pihak berkuasa Indonesia, perlawanan berkenaan diteruskan oleh pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin dengan pelawat menguasai baki 20 minit permainan.
Sumareh muncul wira Malaysia apabila penyerang Pahang itu berjaya memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gawang tuan rumah di penghujung saingan sekaligus meraih tiga mata pada kempen kelayakan kali ini.
BERITA HARIAN
Post a Comment