Program Let's Learn Data tingkatkan kemahiran rakyat Malaysia


Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah memulakan usaha untuk menggalakkan peningkatan kemahiran rakyat Malaysia dan mencungkil bakat digital melalui program Let's Learn Data (LLD).

Pengarah Ekonomi Data MDEC Ir. Dr Karl Ng berkata melalui program LLD yang sedang berjalan, rakyat Malaysia boleh mengikuti kursus dalam talian berkaitan sains data yang akan membantu mereka meningkatkan kecerdasan, membuat eksperimen dan mempelajari subjek yang menarik minat mereka.

"Jadi apa yang kami lakukan adalah untuk menggalakkan orang ramai mempelajari data dan menggunakan platform baharu untuk menyesuaikan pembelajaran berdasarkan keperluan mereka dan juga untuk mereka meningkatkan kemahiran.

"Dunia sedang bergerak ke hadapan melalui penggunaan teknologi data dan Artificial Intelligence (AI), jadi mereka perlu belajar teknologi ini untuk kekal relevan," katanya kepada Bernama di luar NextBigTech Asia 2019, di sini, hari ini.

Bagi program LLD MDEC telah bekerjasama dengan DataCamp, platform pembelajaran sains data dalam talian, yang menawarkan tutorial dan kursus mengenai sains data seperti kejuruteraan data, analisis data dan pengaturcaraan asas.

Menurut Ng, lebih daripada 2,000 orang telah mendaftar untuk kursus ITU sejak IA diumumkan kurang sebulan lepas dan beliau berharap lebih ramai orang akan menyertainya untuk mendapat manfaat daripada kemahiran yang diperlukan melalui program ini.

"Melangkah ke hadapan terutamanya dalam ruang ekonomi digital, ini pada asasnya adalah cara yang betul untuk belajar dengan menggunakan platform digital untuk mempelajari apa yang anda mahu dan jenis topik yang anda mahu," kata Ng.

Beliau menambah bahawa kursus-kursus yang disediakan menerusi platform itu bersifat interaktif dan selepas mendaftar melalui MDEC, pengguna akan mendapat akses percuma sehingga 45 hari untuk kursus dalam talian.

Apabila peserta menamatkan kursus, mereka akan memperoleh lencana atau pensijilan dalam talian yang boleh dihubungkan dan disahkan dalam platform digital seperti LinkedIn.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.