Permohonan sijil myGAP dipermudahkan kepada tiga bulan


Proses permohonan pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) kini dipercepatkan daripada dua tahun kepada tiga bulan sahaja bagi memudahkan pensijilan dikeluarkan kepada usahawan tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata langkah menambah baik proses pensijilan myGAP itu meliputi penambahbaikan elemen myGAP, rekod ladang, kaedah pengauditan dan tempoh masa proses pensijilan.

“Saya sentiasa galakkan mana-mana agensi di bawah kementerian saya supaya meminimumkan karenah birokrasi tapi jangan sangka pula dari dua tahun kepada tiga bulan, kita tidak berkompromi dengan akta sedia ada, dan mematuhi keperluan pensijilan myGAP.

“Cuma kita mengambil langkah proaktif melihat prioriti dalam melakukan prosedur yang tidak berlebihan dalam kalangan jabatan, sebab itu kita boleh pendekkan rantaian birokrasi itu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Ezi myGAP di sini, hari ini.

Salahuddin berkata sejak program pensijilan itu diperkenalkan pada 2002, sebanyak 4,366 pengusaha sektor tanaman merangkumi sayur-sayuran, buah-buahan, padi, kelapa dan cendawan menerima pengiktirafan sijil myGAP.

Mengenai cadangan penggabungan tanah sawah untuk diusahakan sebagai estet perladangan, beliau berkata sesi libat urus yang serius melibatkan pesawah padi dan pihak berkaitan akan diadakan bagi memberi penerangan lebih jelas mengenai langkah itu.

Pada Selasa, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kaedah itu supaya sawah padi dapat diurus dengan lebih profesional dan meningkatkan pendapatan pesawah padi sekali gus masalah kemiskinan golongan berkenaan dapat diatasi.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.