Multilateralisme kini terancam - Mahathir


Malaysia amat bimbang dengan perkembangan yang berlaku di seluruh dunia kini di mana trend yang kelihatan adalah negara-negara kuat mengenakan tindakan secara unilateral (sehala) terhadap orang lain, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perkembangan sedemikian memberi ancaman kepada multilateralisme.

“Multilateralisme kini terancam. Kita lihat negara-negara kuat secara unilateral memaksakan kehendak mereka ke atas orang lain. Malaysia terlalu bimbang dengan perkembangan ini,” katanya ketika melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu, di sini hari ini.

Memberikan contoh perkembangan di Palestin dan Jammu- Kashmir, Dr Mahathir berkata sesetengah negara secara terang-terangan mencabuli perjanjian antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau menarik perhatian bahawa trend serupa juga dapat diperhatikan dalam bidang perdagangan dan ekonomi di mana negara-negara kuat mengenakan sekatan-sekatan secara sehala, tidak menghormati perjanjian perdagangan dan terang-terangan tidak mempedulikan kerangka pelbagai hala.

Beliau berkata sekatan-sekatan ini memberi kesan bukan sahaja kepada negara tertentu yang disasarkan tetapi negara-negara lain juga.

"Tiada kesaksamaan di sini. Yang kaya dan kuat akan mengambil apa sahaja yang mereka mahu tetapi yang miskin dan lemah terpaksa berserah,” kata beliau.

Oleh sebab itu Malaysia akan terus menyuarakan pandangannya dan jika perlu, menyatakan bantahan-bantahannya terhadap ketidakilan, penindasan dan jenayah-jenayah lain terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh mana-mana negara.

“Malaysia juga terpaksa berserah tetapi ia akan dilakukan dengan menyatakan bantahan secara terbuka," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.