KBS laksana dasar 'bekerja dari rumah' jika IPU lebih 200
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah dalam tempoh cuaca berjerebu yang semakin teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini berkata kementerian akan mengedarkan pekeliling bagi memastikan dasar itu dapat dilaksanakan berikutan ramai kakitangan KBS bertugas di luar dan terdedah kepada bahaya jerebu.
“Pegawai dan staf akan melaksanakan pekeliling ini atas budi bicara ketua jabatan yang akan memantau perkembangan kerja dan memastikan kualiti kerja terjaga bagi memastikan perkhidmatan terbaik terus diberikan kepada rakyat.
KBS sedar akan bahaya dan ancaman kepada semua warga KBS. Dasar ini dilaksanakan bagi memastikan kualiti hidup warga KBS terus terbela dan ia selaras dengan arahan penutupan sekolah-sekolah di kawasan yang terbabit,” katanya.
Katanya KBS percaya langkah ini adalah satu keperluan dan ia boleh diseragamkan di semua kementerian dan agensi kerajaan yang lain. - BERNAMA
Post a Comment