'Saya pernah jumpa Neil Armstrong' - Angkasawan Negara jawab mitos ekspedisi ke bulan
Lima puluh tahun dahulu, tiada siapa sangka manusia pertama boleh menjejakkan kaki ke bulan, namun sejarah itulah yang terlakar selepas angkasawan Amerika Syarikat, Neil Armstrong berjaya membuktikan sebaliknya.
Misi itu bermula pada 16 Julai 1969 apabila Amerika Syarikat menghantar ‘hero’ mereka, Armstrong, Edwin Aldrin, dan Michael Collins sebagai taruhan bersama tunggangan mereka yang dikenali sebagai “Eagle”.
Empat hari selepas itu, modul itu berjaya menyentuh permukaan bulan dan Armstrong menjadi manusia pertama meninggalkan tapak kaki di permukaan lunar bersama ungkapan keramat; “Itu adalah satu langkah kecil bagi manusia; satu lompatan gergasi bagi umat manusia.”
Sempena 5 abad ekspedisi tersebut, Astro AWANI berpeluang menemubual Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor bagi mendapatkan pandangan peribadi beliau mengenai sejauh mana misi tersebut mengubah sistem inovasi dan teknologi dalam dunia aeroangkasa.
“Tujuan utama program angkasa adalah untuk memberi inspirasi kepada pelajar di luar sana dengan harapan, bukan untuk melahirkan lebih ramai angkasawan kerana kosnya terlalu tinggi.
“Sebaliknya, ia lebih untuk menghasilkan lebih ramai doktor, saintis dan jurutera aeroangkasa yang melibatkan diri dalam ilmu sains, dan kita lihat kini ramai terlibat dalam bidang-bidang tersebut.
“Jadi, ini adalah harapan Malaysia sendiri untuk menghasilkan lebih ramai ke arah menjadi Malaysia sebuah negara maju,” katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual eksklusif di Planetarium Negara, pada Jumaat.
Berkongsi lebih lanjut, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui pernah bertentang mata dengan Amstrong dan beberapa angkasawan lain yang telah berjaya menjejakkan kaki ke bulan.
Menyifatkan pertemuan itu sebagai kenangan yang cukup bermakna, Dr Sheikh Muszaphar berkata, beliau tidak menafikan bahawa wujud segelintir pihak yang menganggap pengembaraan Amstrong dan rakan-rakannya hanyalah mitos semata-mata.
Armstrong meninggal dunia pada 2012 ketika berusia 82 tahun.
“Manusia memang menjejakkan kaki ke bulan, malah 12 manusia sudah ke sana. Saya sendiri berjumpa dengan Armstrong dan dua lagi manusia (yang pergi ke bulan), bahkan ada antara mereka yang masih hidup.
“Saya sendiri telah pergi ke NASA dan melihat teknologi yang mereka ada untuk melancarkan roket angkasa lepas jadi amat penting untuk kita mendidik masyarakat di luar sana khususnya para pelajar agar mereka sedar betapa pentingnya mempelajari ilmu sains,” ujar bapa kepada empat cahaya mata itu.
Nyata, kejayaan Apollo 11 bukan misi terakhir sebaliknya pada November 1969, sebuah lagi roket Apollo 12 telah meluncur gah ke angkasa bersama angkasawan Charles Conrad dan Alan bean – berjaya membawa pulang 35 kilogram (kg) sampel dari permukaan bulan pulang ke bumi.
Eskpedisi terakhir manusia ke bulan adalah menggunakan Apollo 17 dan Amerika Syarikat bertekad untuk mencipta sejarah menghantar manusia ke bulan pada tahun 2024.
Melihat kepada misi tersebut, Dr Sheikh Muszaphar berkata ia bukan sesuatu yang mustahil, malah menegaskan bahawa para saintis telah mempunyai kajian yang mencukupi termasuk keyakinan untuk menghantar manusia ke planet Marikh pada 2033.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa misi sebenar untuk melahirkan lebih ramai saintis dan doktor masih belum tercapai.
Jelas beliau, pendekatan yang lebih menyeronokkan perlu diterapkan dalam sistem pendidikan khususnya di Malaysia dalam memastikan negara ini sebaris dengan negara maju lain dalam dunia aeroangkasa.
“Jadi, ini adalah suatu yang membimbangkan. Kita harap kerajaan khususnya Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dapat memainkan peranan yang lebih penting dalam bagaimana untuk membuatkan subjek Sains lebih menarik, seterusnya melibatkan diri dalam bidang tersebut,” katanya.
Dr Sheikh Muszaphar merupakan warga Malaysia pertama meneroka angkasa lepas dan ia adalah hasil program yang dilhamkan pada 2003 apabila Rusia bersetuju menghantar seorang warga Malaysia ke ISS sebagai sebahagian daripada program pembelian 18 jet pejuang Sukhoi buatan Rusia bernilai RM3.4 bilion. - ASTRO AWANI
Post a Comment