Latih ibu tunggal berniaga


Pertubuhan Ekonomi dan Kebajikan Wanita (PEKA) bercadang melatih lebih ramai wanita berpendapatan rendah dan ibu tunggal menceburi bidang perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Pengerusinya, Norita Che Ali, berkata penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu juga bertujuan membimbing golongan berkenaan memanfaatkan perniagaan cara mudah menerusi platform media sosial.

Katanya, meskipun PEKA ditubuhkan pada November lalu, namun matlamatnya untuk menarik lebih ramai wanita tanpa mengira latar belakang menyertai persatuan itu.

“Kita memberi tumpuan dalam bidang pembangunan ekonomi dan kebajikan tanpa mengehadkan disertai kelompok tertentu sahaja.

“Ketika ini, kita banyak menggunakan dana sendiri kerana baharu sahaja ditubuhkan dan berharap ledakan dunia siber ini akan menarik lebih wanita untuk menyertainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Meraikan Yang Dikasihi dan meraikan kira-kira 500 golongan kurang bernasib baik, wanita, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU), baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha.

Beliau berkata, ketika ini, kira-kira 100 ahli sudah mendaftar di bawah persatuan itu dengan yuran pendaftaran RM70.

Katanya, pihaknya sudah mengagihkan kelengkapan persekolahan kepada anak dan golongan asnaf di sekitar Ampang selain program menyantuni golongan anak yatim yang lain,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangsa, Asma Adibah Nor Azmi, berkata pelatih di bawah seliaannya sangat gembira apabila berpeluang menghadiri program menyantuni mereka di luar.

“Kebanyakan pelatih kami ber-usia 18 tahun ke atas, begitu teruja apabila ada program luar kerana mereka gemar berjumpa dengan orang ramai yang tidak dikenali.

“Secara peribadinya saya merasakan program sebegini menjadi satu platform yang baik kepada masyarakat untuk menyantuni golongan istimewa, bergaul mesra dan menerima kelompok ini dalam kehidupan tanpa prejudis,” katanya.

Siti Aishah Abdullah, 44, berkata beliau lebih tenang apabila dapat memahami secara mendalam mengenai Islam sebaik menghuni Rumah Kebajikan Nur Hati, Ampang kira-kira 15 tahun lalu sekali gus membolehkannya mengumpul saham akhirat dengan menjadi sukarelawan.

“Pertubuhan terbabit memberikan perlindungan kepada kanak-kanak, ibu tunggal dan remaja hamil luar nikah dengan penghuninya sekitar 53 hingga 55 orang, itu yang membuatkan saya terdetik ingin tahu bagaimana mereka melakukan kerja kebajikan dengan penuh keikhlasan,” katanya.
Powered by Blogger.