Malaysia keluarkan Kertas Putih Pertahanan


Kerajaan bakal membentangkan Kertas Putih Pertahanan pertama negara bagi membolehkan rakyat mengetahui perancangan dan keutamaan aspek keselamatan masa depan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kertas putih berkenaan penting kerana membabitkan komitmen kerajaan dalam dasar pertahanan negara dalam dekad akan datang.

Katanya, laporan itu akan menentukan landskap pertahanan merangkumi aspek strategi, elemen dan pendekatan pertahanan yang bakal diguna membabitkan semua agensi keselamatan sedia ada.

“Negara memerlukan perancangan pertahanan jangka panjang dan kertas putih ini akan menentukan pengetahuan asal, penyelidikan dan teknologi yang diperlukan sebagai sokongan kepada angkatan tentera.

“Pembentangan Kertas Putih Pertahanan tepat pada masa sesuai dengan penganjuran Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) akan menyokong kepada industri pertahanan dan sosioekonomi negara,” katanya pada perasmian LIMA’19 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pameran LIMA’19 yang masuk kali ke-15 penganjurannya kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila disertai paling banyak aset ketenteraan dan komersial membabitkan 390 syarikat dari 31 negara pempamer.

Dr Mahathir berkata, perbelanjaan pertahanan dan komersial bagi rantau ASEAN dijangka terus meningkat berikutan permintaan serta keperluan sektor keselamatan, pertahanan dan komersial negara berkaitan.

“Tahun lalu, negara ASEAN dianggarkan membelanjakan USD35 bilion (RM140 bilion) bagi belanja pertahanan dan menjelang 2037, sejumlah 4,200 pesawat baharu bernilai USD650 bilion (RM2.6 trilion) akan diserahkan kepada rantau ini.

“Malaysia sendiri memperuntukkan RM5.9 bilion bagi pertahanan negara tahun ini dan kita dalam usaha menjadi sebuah negara aeroangkasa di bawah ‘Blueprint’ (Pelan Induk) Industri Aeroangkasa Malaysia 2030,” katanya.

Beliau berkata, industri aeroangkasa negara mencatatkan pertumbuhan positif tahun lalu, apabila Malaysia berjaya meraih RM14.4 bilion keuntungan dan membuka 24,500 peluang pekerjaan dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan rombak rawat (MRO).

Jelasnya, industri aeroangkasa Malaysia dijangka terus mengembang susulan 11 projek pelaburan bernilai RM816.3 juta yang diluluskan kerajaan tahun lalu dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus berusaha menarik pelaburan dalam industri itu. - Berita Harian
Powered by Blogger.