Hospital Selayang jadual semula 40 peratus pembedahan elektif


Sebanyak 40 peratus pembedahan elektif terpaksa dibuat penjadualan semula susulan gangguan teknikal dalam mengakses data pesakit sedia ada di Hospital Selayang yang berlarutan sejak dua minggu lalu.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan kepada BERNAMA hari ini berkata, pembedahan elektif berkenaan terpaksa dibuat penjadualan semula kerana memerlukan sejarah laporan patologi kajian tisu, khususnya bagi kes kanser.

“Selain itu, peratus penjadualan semula bagi temujanji klinik pakar berjaya dikurangkan daripada 15 peratus yang direkodkan pada 6 Mei kepada tiada penjadualan semula sehingga hari ini,” kata kenyataan itu.

Gangguan teknikal sistem iaitu aplikasi Hospital Information System (HIS) Hospital Selayang berlarutan sejak 4 Mei, menjadi rungutan pesakit hingga melewatkan mereka dalam tempoh perawatan dan daftar masuk.

Rentetan itu, perkhidmatan Pesakit Dalam, Jabatan Kecemasan dan Pembedahan Kecemasan dijalankan secara manual.

Menurut kenyataan itu, Bahagian Pengurusan Maklumat Kementerian Kesihatan bersama Hospital Selayang mula mengambil langkah pemulihan secara sepenuh masa bermula dari tarikh gangguan.

Kementerian memberi jaminan Sistem HIS Hospital Selayang dijangka dapat beroperasi sepenuhnya seperti biasa pada 30 Mei ini.

“Bahagian Pengurusan Maklumat Kementerian Kesihatan bersama Hospital Selayang sedang dan akan terus memantau aktiviti pemulihan dijalankan sehingga selesai dan aplikasi HIS berfungsi seperti biasa.

“Justeru, pesakit diharap memahami situasi ini dan dapat memberi kerjasama kepada pihak hospital dan kakitangan,” katanya. – BERNAMA
Powered by Blogger.