Malaysia tidak isytihar perang perdagangan terhadap EU - PM


Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, Malaysia tidak melancarkan perang perdagangan terhadap Kesatuan Eropah (EU), namun hanya memaklumkan kepada dunia mengenai masalah dihadapi negara berikutan keputusan blok itu untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biofuel.

Perdana Menteri berkata, negara tidak mengisytiharkan perang perdagangan dengan EU apabila beliau menyatakan bahawa Malaysia akan melihat ke negara lain untuk membeli jet pejuang, berbanding membelinya daripada syarikat Eropah berikutan layanan tidak adil EU terhadap pengeluar minyak sawit.

“Apa yang saya lakukan, saya memberitahu dunia bahawa amat tidak adil untuk negara-negara kaya menghalang negara-negara miskin daripada menjadi lebih kaya dengan tidak membeli produk mereka. Itu sahaja. Ia bukan (mengisytiharkan) perang perdagangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada taklimat yang diadakan sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19), di sini, hari ini.

Ditanya mengenai hubungan Malaysia-Afrika, Dr Mahathir berkata, perkembangan negara agak perlahan dari segi memupuk hubungan dengan negara Afrika selepas beliau berundur daripada jawatan Perdana Menteri sebelum ini, dan amat mencabar untuk dirinya meningkatkan hubungan berikutan hanya ada masa terhad.

“Saya memberi tumpuan untuk membina hubungan baik dengan negara-negara Afrika. Negara-negara Afrika amat kaya (dan) sebab itu kenapa orang Eropah pergi ke sana dan masih pergi ke sana.

“Sekarang saya menjadi Perdana Menteri semula, saya ingin melakukan perkara sama. Satu-satunya masalah ialah saya mempunyai tempoh masa singkat dan saya terpaksa pulun melaksanakan kerja untuk tempoh 10 tahun dalam masa dua tahun sahaja. Jadi, ia agak sukar,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, ada banyak pihak memohon untuk melabur di Malaysia tetapi kerajaan perlu membuat tapisan agar hanya pelaburan berkualiti diluluskan.

“Kami perlu melihat pelbagai aspek kerana kami tidak mahu timbul masalah di kemudian hari,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pelaburan yang diluluskan juga memerlukan masa untuk menjadi kenyataan dan tidak akan berlaku dalam waktu semalaman.

LIMA’19 yang diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resorts World Langkawi akan berakhir pada 30 Mac ini. – BERNAMA


Powered by Blogger.