Malaysia, New Zealand perkukuh hubungan perangi keganasan


Malaysia dan New Zealand sepakat untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam memerangi keganasan.

Ia hasil rundingan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan rakan sejawatannya, Winston Peters di Bangunan Parlimen hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, Malaysia bangkit bersama New Zealand dalam menghadapi situasi sukar susulan insiden serangan pengganas ke atas masjid di Christchurch, yang turut mengorbankan seorang rakyat Malaysia, baru-baru ini.

“Mengenai isu ini, Peters dan saya bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam memerangi keganasan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.

Peters juga berkesempatan meninjau perjalanan perbahasan di Dewan Rakyat.

Dr Wan Azizah berkata, Malaysia juga memberi penghargaan kepada kerajaan New Zealand atas semua bantuan yang diberikan kepada mangsa insiden itu termasuk dari negara ini.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan Malaysia kepada kerajaan New Zealand dan rakyatnya serta semua keluarga mangsa.

Selain memerangi keganasan, katanya, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.

Serangan ke atas dua masjid di Christchurch pada 15 Mac lalu menyebabkan 50 terkorban dan berpuluh lagi cedera dalam apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai serangan pengganas. - Berita Harian

Powered by Blogger.