Malaysia-Korea Selatan sasar kesinambungan Dasar Pandang Ke Timur
Malaysia dan Korea Selatan sepakat untuk mempertingkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara dalam pelbagai bidang merangkumi perindustrian, pengangkutan, pembangunan bandar pintar dan industri halal.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan empat mata bersama Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in selain mesyuarat delegasi kedua-dua negara di sini hari ini.
“Perbincangan menyentuh kerjasama dalam sektor perindustrian dan berkaitan makanan halal yang mana mereka (Korea Selatan) sangat berminat memenuhi keperluan pelancong Muslim ke negara itu, selain memastikan produk dikeluarkan mereka mematuhi status halal.
“Saya juga ingin berkongsi mengenai apa yang dimaklumkan Presiden Korea Selatan bahawa Korea memulakan proses perindustrian mereka dengan pengeluaran kereta dan lihat di mana mereka sekarang.
“Kita juga bermula dengan kereta tetapi kita tidak mencapai kejayaan sebagaimana Korea capai,” katanya pada sidang media bersama Moon di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk terus menghantar pelajar ke Korea dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat (IT) dan teknologi baharu agar Malaysia dapat bergerak selaras dengan kemajuan republik itu ketika ini.
“Kita berharap keempat-empat memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini dapat mempertingkatkan perdagangan kedua-dua negara.
“Terdapat banyak bidang untuk kerjasama sekali gus memberi kesinambungan kepada Dasar Pandang Ke Timur,” katanya.
Kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian empat MoU mengenai kerjasama industri yang berkaitan dengan Revolusi Industri Ke-empat (Industri 4.0), kerjasama dalam bidang pengangkutan dan pembangunan Smart City di Malaysia, di samping kerjasama dalam industri halal antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dengan Agensi Promosi Pelaburan Perdagangan Korea (KOTRA).
“Kami bersetuju untuk bekerjasama dengan lebih rapat demi keamanan dan kemakmuran Semenanjung Korea dan juga wilayah ASEAN.
“Malaysia juga berharap hubungan Korea Selatan dan Korea Utara bertambah baik dan kita juga berharap perjanjian antara Amerika Syarikat dapat membuahkan hasil yang baik sekali gus menjamin keamanan di Semenanjung Korea,” katanya.
Tahun lalu, dagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan mencatat peningkatan 7.2 peratus kepada AS$17.98 bilion (RM72.60 bilion), berbanding AS$15.76 bilion (RM67.71 bilion) pada tahun 2017. - Berita Harian
Post a Comment