Agong harap lawatan Moon buka peluang kerjasama baharu Malaysia-Korea Selatan


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap lawatan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in ke Malaysia dapat membuka peluang kerjasama baharu antara kedua-dua negara berdasarkan sikap saling mempercayai dan hormat-menghormati.

Seri Paduka bertitah dengan kerjasama yang erat, Malaysia dan Korea Selatan secara bersama dapat memacu potensi sedia ada, seterusnya menyumbang kepada kekayaan dan kemakmuran rantau ini demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

“Semoga lawatan negara yang penuh bermakna ini akan dapat mengeratkan lagi tali persahabatan kita dan mengukuhkan lagi jalinan hubungan dua hala yang sedia ada antara Malaysia dan Republik Korea,” titah Seri Paduka pada Majlis Santapan Negara di Istana Negara di sini malam ini.

Majlis yang dihoskan Seri Paduka itu diadakan bagi meraikan Moon dan isteri Kim Jung-sook yang sedang dalam lawatan negara selama tiga hari di Malaysia, bermula semalam.

Dalam pada itu Sultan Abdullah menzahirkan kegembiraan melihat peningkatan hubungan yang amat ketara antara kedua-dua negara di bawah Dasar Pandang ke Timur yang dilaksanakan pada 1982, yang mana ia menghasilkan kerjasama dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Korea Selatan.

Seri Paduka turut menzahirkan rasa kagum terhadap pelbagai kemajuan yang telah dicapai Korea Selatan.

“Sebagai seorang peminat sukan, Beta masih ingat ketika mana kedua-dua pasukan bola sepak kita berada pada tahap yang setara.

“Bagaimanapun, pasukan Republik Korea telah bergerak jauh lebih maju ke hadapan, hasil dari dedikasi dan keazaman para pemain serta pentadbirnya,” titah Seri Paduka.

Sehubungan itu Sultan Abdullah berharap agar kejayaan pasukan bola sepak Korea Selatan dicontohi rakyat Malaysia dan mungkin suatu hari nanti, kedua-dua pasukan akan bertemu sebagai lawan yang setaraf.

Turut berangkat pada majlis tersebut Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, jemaah menteri dan delegasi dari Korea Selatan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata lawatan itu dijangka meningkatkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Seoul di samping meletakkan asas baharu, bagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara untuk berkembang. - Bernama
Powered by Blogger.