ABPBH33 kali pertama berlangsung tanpa penonton


Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 33 (ABPBH 33) akan dilangsungkan secara meriah meskipun tanpa penonton pada 13 November, jam 9 malam, bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.


Bakal disiarkan secara langsung di TV3, Tonton, YouTube TV3 dan Berita Harian, laman web ABPBH di www.abpbh.com.my, buat julung kalinya ia juga dipancarkan menerusi laman aplikasi TikTok.


Menurut Pengarah Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Shamshul Azree Samshir, keputusan melangsungkan acara itu tanpa penonton adalah bagi mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.


"Bagi mengelak perhimpunan beramai-ramai, malam kemuncak ABPBH 33, buat pertama kalinya diadakan tanpa kehadiran penonton mahupun kelab peminat.


"Hanya mereka yang bekerja dan sebilangan artis terbabit sahaja akan hadir. Kami memberikan komitmen sepenuhnya untuk kita jaga diri kita dan mengikuti tahap kepatuhan SOP yang amat tinggi."


"Bagaimanapun, perjalanan acara itu kami pastikan masih meriah selain tampilkan persembahan memukau. Kami mahu pastikan penonton di rumah puas dan terhibur sebagaimana edisi-edisi terdahulu," katanya.


Pada sidang media hari ini, pengacara Datuk AC Mizal dan pelakon Nabila Huda diumumkan sebagai hos utama pada kemuncak itu nanti. Manakala, penyanyi Sissy Iman dan pelakon Sean Lee bertindak sebagai hos karpet merah.


Barisan artis membuat persembahan turut membabitkan bintang nama legenda selain bakat baharu yang cukup popular. Pentas ABPBH 33 bakal dihangatkan dengan persembahan duet dan berkumpulan.


Mereka termasuk Azlan Typewriter, Yonnyboii, Zynakal, Faizal Tahir, Elly Mazlein, Syamel, Dolla, Zizi Kirana, Ernie Zakri, Hafiz Suip, Naim Daniel, Tuju, Man Keedal, Aina Abdul, Indah Ruhaila, Tomok, Lan Solo, Liza, Azlina Aziz , dan Noki K-Clique. 


Yonnyboii juga akan berpasangan dengan Shalma Eliana mempersembahkan lagu tema Xiaomi Malaysia iaitu Xiaomi For Me!. Sebuah sketsa komedi dijayakan Khir Rahman, Joey Daud, Man, Nora Danish, Kaka Azraff dan Liza Abdullah juga antara kelainan tahun ini.


ABPBH 33 juga bakal memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anak seni melalui kategori khas, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Penerima anugerah ini bakal diumumkan pada malam kemuncak kelak.


Sementara itu, barisan penyampai trofi dipilih adalah dalam kalangan personaliti serta artis hebat memiliki reputasi tersendiri dalam setiap bidang diceburi. Mereka adalah Saiful Apek, Siti Nordiana, Shaheizy Sam, Zul Ariffin, Ramlah Ram, Wany Hasrita dan Datuk Rosyam Nor. - Harian Metro

Powered by Blogger.