Polis maut kemalangan sedang kejar penjenayah


Polis mengesahkan dua anggotanya yang kemalangan, menyebabkan seorang daripadanya maut di Jalan Kangkar Tebrau, di Kampung Kangkar Tebrau, awal pagi tadi, sedang mengejar penjenayah ketika kejadian.


Kereta Perodua Myvi yang dinaiki dua penjenayah terbabit bergesel dengan kereta peronda dinaiki dua anggota berkenaan sebelum ia terbalik dan dilanggar sebuah SUV Perodua Aruz dinaiki orang awam.


Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kemalangan itu menyebabkan Nicholester Dadup Unggat, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala manakala pemandu kereta peronda itu, Lans Koperal Mohd Khairul Musa, 32, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).


Kedua-dua anggota terbabit dari Balai Polis Bandar Dato' Onn.


"Ketika kejadian, anggota terbabit telah membuat laporan kepada Pusat Kawalan Gerakan Daerah, nombor pendaftaran kereta suspek semua kita ada dan mereka akan diburu," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mendiang di Jabatan Perubatan Forensik HSI di sini, hari ini.


Ayob Khan berkata kedua-dua anggota itu sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.


"Mereka mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya tetapi lelaki itu melarikan diri dan polis mengejar.


"Ketika di Jalan Kangkar Tebrau dan Jalan Tun Teja, kereta peronda bergesel dengan kereta suspek sebelum terbalik dan dilanggar sebuah SUV Perodua Aruz yang dinaiki dua orang awam dari arah bertentangan," katanya.


Ayob Khan memaklumkan mendiang Nicholester Dadup yang masih bujang akan diterbangkan ke Sibu, Sarawak petang ini untuk disemadikan di kampung halamannya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


"Kita juga akan lakukan siasatan ikut peruntukan lain selepas suspek berjaya ditangkap," katanya. - BERITA HARIAN

Powered by Blogger.