Yaasin4Aqsa zahirkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin


Hampir 3,000 orang menyertai program ‘Yaasin4Aqsa di Masjid Negara, di sini, malam ini. Majlis bermula dengan solat Maghrib diikuti solat hajat dan bacaan Yassin dan solat Isyak.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Presiden Majlis Perundangan Pertubuhan Islam (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Sementara itu, Mujahid berkata, program Yaasin4Aqsa bertujuan menzahirkan kebersamaan rakyat Malaysia dengan perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin.

Katanya, fadilat surah Yasin itu diambil dan ditujukan khas permohonan kepada Allah untuk memelihara keselamatan saudara sesama Islam di Palestin.

“Program ini idea MAPIM dan JAKIM menyokong dengan menganjurkan majlis malam ini.

“Mesej kita, kita buat benda mudah seperti baca Yasin tetapi ia dibaca dengan penuh perasaan dan juga mesej bahawa kita bersama perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin.

“Kita mahukan program ini berterusan di seluruh negara, ia sebagai satu ingatan bahawa isu Palestin belum selesai, kita akan terus tunjukkan solidariti dan keprihatinan kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Mujahid turut mengulangi pendirian kerajaan akan terus tegas untuk bersuara mengenai keganasan Israel.

“Di peringkat antarabangsa kita sudah suarakan pendirian terhadap Israel, malah di peringkat negara kita terus tunjukkan ketegasan dalam dasar kerajaan untuk boikot Israel walaupun dalam sukan sekalipun.

“Malah kita juga menjadi negara yang masih kekalkan pengharaman masuk ke Israel, saya rasa itu sudah cukup sebagai tindakan diplomatik kita terhadap Israel,” katanya. - Berita Harian
Powered by Blogger.