Permainan kami sangat teruk


Cabaran beregu lelaki negara dalam saingan Terbuka Malaysia berakhir selepas empat pasangan yang beraksi di pusingan kedua tewas di tangan lawan masing-masing, hari ini.

Paling mengecewakan adalah kekalahan naib juara Seluruh England 2018, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan harapan tinggi untuk menyinar di laman sendiri selepas cemerlang di Birmingham, bulan lalu.

Beregu muda negara itu gagal mempamerkan prestasi sebenar mereka apabila tewas di tangan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 9-21, 16-21.

Enggan memberi sebarang alasan susulan kekalahan itu, Aaron menyifatkan permainan mereka sangat teruk, hari ini.

"Perkataan yang paling sesuai dengan permainan kami hari ini adalah teruk. Permainan hari ini memang teruk, set pertama saja kami sudah ketinggalan jauh dan keyakinan kami menurun.

"Kami kecewa dengan kekalahan hari ini kerana seolah-olah kami masuk gelanggang begitu saja. Keluar gelanggang pun masih tidak tahu apa yang berlaku.

"Kombinasi dan taktikal kami semua tidak menjadi," kata Aaron ketika ditemui sejurus selepas perlawanan.

Bagaimanapun, pasangan ranking ke-15 dunia itu tekad untuk bangkit dengan fokus mereka kini bagi membuat persiapan menghadapi saingan Terbuka Singapura, minggu depan.

Sementara itu, satu lagi pasangan negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut mengalami nasib sama apabila tewas kepada pilihan ketujuh dari China, Han Chengkai-Zhou Haodong 17-21, 19-21.

Terdahulu, dua pasangan profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Low Juan Shen-Chooi Kah Ming turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua. - Berita Harian
Powered by Blogger.