Siti Hasmah penaung teater ikonik ´The Phantom of the Opera´


Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima jemputan menjadi penaung teater muzikal paling popular di dunia, ‘The Phantom of the Opera’ yang akan diadakan di Istana Budaya pada 15 Jun ini.

Syarikat hiburan Base Entertainment dalam satu kenyataan berkata, sehubungan itu satu majlis Malam Gala Amal Tun Siti Hasmah akan diadakan pada 3 Julai.

“Saya sangat sukakan seni, jadi apabila Base Entertainment menjemput saya untuk menjadi penaung, saya dengan besar hati menerima tawaran itu,” kata Dr Siti Hasmah dalam kenyataan sama.

Malam Gala Amal itu bertujuan meraih dana untuk dua pertubuhan bukan berasaskan keuntungan iaitu Persatuan Disleksia Malaysia (PDM) dan Persatuan Kecederaan Spina Malaysia (MASIA).

Kedua-dua pertubuhan itu menawarkan sokongan emosi dan praktikal kepada mereka yang terjejas dan bergantung sepenuhnya kepada para penyokong untuk meneruskan perjuangan mereka.

“Base Entertainment sentiasa percaya dalam menyumbangkan kembali kepada masyarakat, dan kami gembira The Phantom of the Opera boleh menjadi impak kepada sokongan pertubuhan itu yang biasanya tidak mendapat perhatian secukupnya,” kata Ketua Base Entertainment Datuk Jared Lim.

Tiket untuk Gala Amal itu berharga RM1,500 (Premium), RM1,000 (Kategori A) dan RM600 (Kategori B).

The Phantom of the Opera ditulis oleh Andrew Lloyd Webber dengan liriknya oleh Charles Hart dan merupakan pertunjukan paling lama dalam sejarah Broadway, yang kini memasuki tahun ke-33 di West End London. - BERNAMA
Powered by Blogger.