COVID-19: Mitigasi lebih cepat dan berkesan diperlukan - PM Muhyiddin


Situasi penularan COVID-19 ketika ini memerlukan pendekatan mitigasi atau intervensi yang lebih cepat dan berkesan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan COVID-19 hari ini.


Dalam catatan Facebook rasminya hari ini beliau berkata ia susulan daripada laporan peningkatan kes positif di beberapa daerah di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Johor, yang sebelum ini adalah zon hijau, yang telah menjadi kuning atau merah dalam tempoh seminggu atau dua minggu. 


"Alhamdulillah pagi ini saya telah mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan COVID-19 bagi membincangkan tindakan yang perlu dipertingkatkan bagi mengawal dan menguruskan pandemik COVID-19.


"Saya menyatakan rasa bimbang kepada ahli mesyuarat mengenai situasi pandemik COVID-19 di seluruh negara yang masih mencatat peningkatan dalam kes positif COVID-19 walaupun bukanlah peningkatan yang mendadak," katanya.


Susulan itu, Muhyiddin mengarahkan MKN membuat penilaian semula ke atas prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sosial dan sukan agar diperketatkan lagi bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.


Jelasnya SOP itu perlu diperketatkan seolah-olah menyamai SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Sehubungan itu menurutnya MKN akan membuat pembentangan berhubung cadangan memperketatkan SOP dalam Sidang Khas MKN esok, dan beliau berharap perkara itu dapat dilaksanakan segera kerana kadar penularan jangkitan pada waktu ini dilihat agak membimbangkan.


Sementara itu Muhyiddin turut bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah untuk meminda SOP Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di semua lokaliti yang terlibat di negeri itu.


Beliau berkata pindaan SOP itu bertujuan membantu penduduk terlibat menjalani kehidupan dalam situasi PKPD dengan lebih baik.


Dalam pada itu Muhyiddin berkata antara perkembangan positif dilaporkan dalam sidang khas hari ini adalah penamatan PKPD di lapan penjara setelah tiada kes baharu dalam tempoh 14 hari dilaporkan.


"Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas kerjasama baik untuk membendung jangkitan COVID-19 di dalam penjara," katanya.


--  BERNAMA

Powered by Blogger.