'Umpama mimpi ngeri'
Umpama mimpi ngeri. Itu pengalaman digambarkan seorang daripada 124 kru kapal penyelenggaraan, Dayang Topaz yang terpaksa terjun ke dalam laut ketika kapal itu karam di 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri, Sarawak, awal pagi tadi.
Mangsa dilaporkan berkata dia bersama kru lain mengambil keputusan untuk terjun apabila kapal itu mulai karam selepas melanggar sebuah pelantar minyak di situ.
"Sebelum kejadian, kawasan di situ dilanda hujan lebat sejak jam 10 malam selain angin kencang dan laut bergelora.
"Cuaca buruk berlarutan sehingga awal pagi dan sekitar jam 6 pagi, salah satu sauh pada kapal terputus.
"Keadaan itu menyebabkan kapal hilang kawalan dan terlanggar pelantar minyak, Platform Baram B yang terletak berhampiran," katanya kepada media seperti dilaporkan Borneo Post, hari ini.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kapal berkenaan mengalami kerosakan dan mulai karam.
"Kru kapal kemudian diarahkan untuk segera meninggalkan kapal yang menyebabkan kami mengambil keputusan untuk terjun ke laut.
"Kami kemudiannya terpaksa mengapungkan diri dan mengharung angin serta ombak kuat selama hampir tiga jam sebelum diselamatkan. Ia umpama mimpi ngeri," kata beliau lagi.
Menurutnya lagi, kesemua kru sebelum itu sudah diarahkan membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan susulan cuaca buruk namun tidak menjangkakan keadaan akan menjadi seburuk itu.
Terdahulu BH melaporkan, Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya menerima maklumat kejadian itu daripada pengendali kapal Sapura Construction, jam 6.45 pagi tadi, melaporkan menerima isyarat kecemasan dari Dayang Topaz.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Mohd Zubil Mat Som dilaporkan berkata, pihaknya dimaklumkan kapal Sapura Construction bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar kapal Dayang Topaz sebelum mendapati kapal berkenaan mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal, manakala 125 kru lagi terjun ke laut.
"Daripada 125 anak kapal yang terjun ke laut, seorang meninggal dunia manakala 62 yang berada di atas Dayang Topaz diselamatkan oleh kapal penyelamat.
"Ketika kejadian, jumlah anak kapal adalah seramai 187 orang," katanya.
Kesemua kru kapal yang diselamatkan dibawa ke pantai di Terminal Pertukaran Kru Serimas di Krokop, pada pukul 2.20 petang tadi. - Berita Harian
Post a Comment