Alvin Goh direman tiga hari


Suspek utama kes pengubahan wang haram yang melarikan diri dan ditahan di sebuah pusat peranginan di Pahang awal pagi tadi, Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, direman selama tiga hari sehingga 29 Oktober ini.


Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan reman mengikut Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan polis menyiasat lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


Permohonan reman dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, pagi tadi.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed, berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung pembabitan suspek dalam kegiatan haram yang dilakukannya.


"Pada masa ini polis akan menjalankan siasatan berhubung pembabitannya yang disyaki mempunyai unsur kegiatan pengubahan wang haram, penipuan Macau Scam di luar negara dan aktiviti perjudian dalam talian," katanya ketika dihubungi BH hari ini.


Media sebelum ini melaporkan suspek utama kes sindiket pengubahan wang haram itu melarikan diri dengan bantuan dua pengawal peribadinya berdasarkan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Putrajaya.


Dalam kejadian pada 11 Oktober lalu, suspek memang sudah menaiki kenderaan miliknya yang kemudian dilihat menuju ke pintu pagar utama bangunan terbabit untuk keluar.


Namun ketika pergerakan antara pintu lobi dengan pintu pagar utama itu, suspek dipercayai keluar dari kenderaan terbabit lalu melarikan diri ke pagar sisi berdekatan pintu belakang bangunan SPRM.


"Hasil semakan terhadap rakaman CCTV, suspek didapati memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi yang sudah bersedia dan sebuah kereta jenis Myvi menunggu di tepi jalan, sekali gus meloloskan diri daripada tangkapan polis yang sedia menunggu di pintu pagar utama bangunan SPRM," kata sumber.


Alvin Goh ditahan di sebuah pusat peranginan di Pahang, sekitar jam 1.30 pagi tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, ketika sedang bersembunyi di tingkat 10 dalam sebuah unit kediaman di sebuah residensi.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki, sebelum ini mendedahkan pihaknya membekukan kira-kira RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta serta merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan. - Berita Harian

Powered by Blogger.