Global Station buat ujian swab untuk pelakon, kru
Global Station Sdn Bhd menjadi syarikat produksi pertama menyahut Insentif Saringan Prihatin yang dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan melakukan ujian swab Covid-19 terhadap kru dan pelakonnya, semalam.
Penerbit Eksekutif Global Station Sdn Bhd, Zetty Alia Ramly berkata, seramai 32 kru serta pelakon drama Sang Pewaris terbabit dalam ujian berkenaan yang dilakukan di sebuah banglo di Tasik Puteri, Rawang, Selangor, jam 1 petang semalam.
"Kami memutuskan untuk menyahut insentif itu memandangkan 70 peratus penggambaran drama itu dilakukan di banglo itu. Rata-rata kru dan pelakon juga menginap di sekitar kawasan ini sahaja.
"Kami sebolehnya mahu hadkan pergerakan keluar masuk dari set penggambaran itu. Justeru, kami fikir seeloknya semua diminta menjalani ujian swab demi memastikan tidak berlaku sebarang penularan virus Covid-19," katanya.
Alia berkata, dia juga memuji Finas yang begitu komited dan sanggup turun padang memantau proses ujian swab terbabit. Dia juga bersyukur insentif berkenaan membantu meringankan beban produksi.
"Alhamdulillah, Finas prihatin dengan pekerja-pekerja industri dengan memberi insentif ini. Keprihatinan pengerusinya turun padang untuk lihat sendiri proses ujian swab itu amat kami hargai. Ia sedikit sebanyak dapat meringankan kos pihak produksi.
"Kos produksi pun semakin naik disebabkan perlu menyediakan pelitup muka, bahan nyah kuman dan sebagainya. Namun tiada apa boleh buat dan kena patuh juga. Kami nasihatkan semua yang terbabit masing-masing kena jujur, kalau sakit demam jangan datang set," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, insentif berkenaan akan dilanjutkan lagi sehingga 9 November ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disambung.
"Oleh kerana PKPB disambung, pelaksanaan insentif ini juga dilanjutkan. Setakat ini, ada dua lagi produksi sudah menghubungi bahagian perlesenan Finas untuk bantuan swab terbabit.
"Semalam, saya meluangkan masa melawat lokasi penggambaran drama Sang Pewaris untuk meninjau ujian swab Covid-19. Global Station Sdn Bhd memanfaatkan insentif ini bagi memastikan keselamatan artis dan kru di lokasi," katanya.
Pada 14 Oktober lalu, Finas mengumumkan pelaksanaan Insentif Saringan Prihatin kepada syarikat produksi melakukan ujian swab Covid-19 terhadap kru dan pelakon yang terbabit dalam aktiviti penggambaran mengikut terma tertentu.
Insentif itu diberikan dengan kadar maksimum sebanyak RM5,000 untuk setiap syarikat produksi yang melakukan penggambaran sepanjang tempoh PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Post a Comment