Sekolah cipta Jalur Gemilang gergasi guna 2,002 botol air mineral terpakai


Warga Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hwa Pusat, di sini meneruskan tradisi menyambut Bulan Kebangsaan pada tahun ini dengan menghasilkan Jalur Gemilang gergasi menggunakan botol air mineral terpakai.

Menggunakan sebanyak 2,002 botol air mineral terpakai bersaiz 1.5 liter itu, Jalur Gemilang mesra alam bersaiz 14 meter panjang dan empat meter tinggi itu berjaya disiapkan dalam tempoh tiga minggu untuk digantung di bahagian pagar sekolah berkenaan.

Guru Besar sekolah itu, Tan Soo Moi berkata setiap tahun pihak pengurusan dan warga sekolah berkenaan akan membincangkan idea sambutan Bulan Kebangsaan dan pada tahun ini mereka membuat kelainan dengan menghasilkan Jalur Gemilang gergasi daripada botol air mineral terpakai.

"Tahun ini kita rancang awal. Kita memulakan projek ini akhir Julai lalu yang mana botol air mineral terpakai ini ada yang dikutip oleh murid dan guru sekolah selain sumbangan daripada syarikat yang menguruskan perniagaan kitar semula. Dalam tempoh itu, semua yang terlibat meluangkan masa selepas waktu persekolahan serta setiap hujung minggu bagi menyiapkan Jalur Gemilang gergasi ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Jalur Gemilang gergasi itu oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, di sini hari ini.

Tan berkata lebih 530 murid dan 30 guru serta dibantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ahli Lembaga Pengurus sekolah dan komuniti setempat berganding bahu mengecat serta mencantum botol air mineral terpakai itu bagi membentuk Jalur Gemilang yang menelan kos keseluruhan RM800.

Beliau berkata pihaknya juga menggunakan cat mesra alam sekitar untuk menghasilkan Jalur Gemilang itu dalam usaha mendidik murid-murid mencintai alam sekitar.

"Jalur Gemilang gergasi ini kami akan gantung selagi ia mampu bertahan sama ada di bawah panas terik atau hujan. Jadi, kalau selepas ini catnya terkeluar kita akan tengok macam mana," katanya.

Sementara itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP menggesa rakyat negara ini menolak mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan.

"Barulah kita boleh mengecapi kemakmuran bersama yang merupakan tanggungjawab bersama. Marilah kita terus bersatu padu dan mengekalkan masyarakat yang harmoni yang kita kecapi selama ini," katanya.

Beliau turut memuji pihak sekolah yang menganjurkan pelbagai aktiviti semata-mata untuk memupuk dan mendidik semangat cintakan negara dalam kalangan murid.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.