Kesedaran pensijilan MSPO belum sampai ke akar umbi


Ramai pekebun kecil sawit belum memohon Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kerana tidak tahu kelebihannya.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata sehingga kini hanya 2.75 juta hektar atau 47 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia mendapat pensijilan MSPO.

Katanya, di Terengganu, sebanyak 54 peratus jumlah kawasan sawit di negeri ini sudah mendapatkan pensijilan MSPO, namun dari segi pekebun kecil sawit masih lagi rendah iaitu 212 hektar atau 1.6 peratus daripada jumlah keluasan tanaman sawit sebanyak 13,670 hektar.

“Kesedaran mengenai pensijilan MSPO ini belum sampai ke akar umbi dan ramai pekebun kecil sawit yang tidak tahu.

“Setiap kali saya mengadakan jelajah ke seluruh negara, perkara sama dibangkitkan iaitu mengenai kesedaran dan kepentingan mendapatkan pensijilan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Terengganu di sini, hari ini.

Kok berkata, pegawai agensi kementerian itu sudah mengadakan taklimat untuk penanam kelapa sawit di 15 tempat bagi memberi kesedaran.

Beliau berkata, proses permohonan untuk mendapatkan pensijilan MSPO juga perlahan kerana kekurangan kakitangan di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC).

“Kita juga tidak cukup konsultan menyebabkan prosesnya agak perlahan, sedangkan kita mahu mempercepatkan proses pensijilan MSPO ini,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.