JaPen Sarawak rancang 660 progam 'Info On Wheels Merdeka' di 33 daerah


Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak merancang mengadakan lebih 660 program Info On Wheels (IOW) Merdeka di 33 daerah seluruh Sarawak sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Pengarahnya Suwadi Guliling berkata setakat ini pihaknya sudah mengadakan 590 program terbabit di seluruh negeri ini  yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dan program akan terus diadakan sehingga sambutan Hari Malaysia di Sibu pada 16 September depan.

"Memandangkan pandemik COVID-19, kita tidak dapat mengadakan program (sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia) yang melibatkan audiens yang ramai, jadi kita ambil inisiatif dan pendekatan menggunakan IOW Merdeka dan menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program IOW Merdeka di Bandar Riyal di sini, beliau berkata melalui program berkenaan, petugas jabatan itu akan mengedarkan purata 250 bendera Jalur Gemilang setiap kali program itu digerakkan bagi memastikan mesej kemerdekaan sampai kepada khalayak sasaran.

"Bendera ini diagihkan secara percuma dan kita juga menggalakkan masyarakat membeli bendera ini dan mengibarkannya di kenderaan, pejabat atau rumah sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini," katanya.

Selain IOW Merdeka, Suwadi berkata JaPen Sarawak merancang mengadakan 93 Program Merdeka@Komuniti di seluruh negeri ini sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Katanya kira-kira 500 bendera Jalur Gemilang diedarkan secara percuma di setiap Program Merdeka@Komuniti terbabit yang akan melibatkan penyertaan pemimpin setempat masyarakat di bandar atau rumah panjang negeri ini.

"Melalui pemimpin setempat ini, kita akan menyampaikan pesanan kepada masysrakat seperti penting menjaga perpaduan, menjaga keharmonian kaum, memastikan negara aman dan mempertahankan kemerdekaan," katanya.

-- BERNAMA

Powered by Blogger.