Lebih banyak industri diharap sertai Projek Demonstrasi 5G - Saifuddin


Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berharap, lebih banyak industri tampil menyertai Projek Demonstrasi 5G sehingga tempoh akhir pada hujung tahun ini.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sehingga kini sebanyak 71 Projek Demonstrasi 5G telah berjaya dilakukan, yang mana ia sangat membantu bagi persediaan kerajaan melaksanakan teknologi 5G, secara komersial nanti.

“Untuk penggunaan individu memang sekarang kita (KKMM) hendak mengoptimumkan capaian 4G, tetapi untuk industri memang teknologi 5G diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Institut Teknologi Petronas (INSTEP) di sini hari ini.


Turut hadir Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Bagi industri minyak dan gas pula katanya, hanya Petronas sahaja yang telah menyertai projek demonstrasi tersebut dan kementerian percaya lebih banyak lagi syarikat dalam industri itu, berminat untuk menggunakan teknologi 5G nanti.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, kerajaan kini sedang giat menilai tahap penggunaan dan fungsi 873 pusat internet di seluruh negara.

“Penilaian dibuat sebab kita hendak tengok sejauh mana sesebuah pusat internet itu digunakan dan sejauh mana aset-aset yang ada di pusat tersebut ‘up to date’. Kita akan tengok sama ada sesebuah pusat internet itu boleh diteruskan atau bagaimana. Akhir tahun ini kita akan tahu kedudukannya, bagaimana.

“Bagi saya ia (pusat internet) berkesan, tetapi untuk jangka masa akan datang kita kena lihat betul-betul,” katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.