Datuk disyaki rogol cucu tiri ditahan


Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan semalam kerana disyaki merogol cucu tiri berusia 11 tahun sebanyak tiga kali sejak 2016.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek ditahan di sebuah rumah di Damansara Perdana pada jam 6 petang selepas polis menerima laporan kejadian itu daripada ibu mangsa.

"Tangkapan ke atas suspek dilakukan setelah pihak polis menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung kejadian itu pada jam 1 tengah hari, semalam.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dirogol sebanyak tiga kali sejak berusia tujuh tahun iaitu pada 2016, seterusnya pada 2018 dan kejadian kali terakhir pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa yang bersekolah rendah di sebuah sekolah di Petaling Jaya adalah anak keempat daripada enam adik beradik dan tinggal bersama nenek dan datuk tirinya sejak ibu dan bapanya bercerai.

Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan sumbang mahram dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun serta sebatan. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.