Mayat lelaki dalam sungai, disyaki mangsa kemalangan


Mayat seorang lelaki ditemui di dalam sungai berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Lembah Subang dipercayai mangsa kemalangan, petang semalam.

Sebaik menerima aduan daripada orang awam pada jam 5.55 petang, sepasukan anggota bergegas ke lokasi dan menemui mayat seorang lelaki lengkap berpakaian terapung di permukaan sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya dipanggil ke lokasi bagi membantu menaikkan mayat berkenaan.

“Kira-kira jam 5.30 pagi tadi, seorang anggota tentera menemui sebuah motosikal jenis Yamaha LC ketika melalui Lebuhraya NKVE berhampiran Menara Korporat PLUS dan mengesyaki motosikal itu terbabit kemalangan namun tidak menemui mangsa.

“Pengadu kemudian membawa motosikal terbabit ke sebuah stesen minyak di lebuh raya itu arah ke Damansara kerana bimbang ia akan menghalang lalu lintas sebelum melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, hasil siasatan dijalankan, mangsa dikenal pasti sebagai Eshanso Koong, 37, berasal dari Bukit Beruntung, Rawang dan bekerja sebagai pemandu lori.

“Melalui pengecaman yang dibuat oleh anak mangsa, mengesahkan yang mayat itu adalah bapanya.

“Buat masa ini kematian mangsa diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi memastikan punca sebenar kejadian selain memohon bantuan orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

“Saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Nazreen Shaharuddin di talian 010 2105101,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.