Bayi masih bernyawa dibuang ditemui di Ampang


Satu bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan kurang 24 jam ditemui di Kuala Ampang, pagi tadi.

Bayi yang masih bertali pusat seberat 2.8 kilogram itu ditemui dalam kotak air mineral ditutup dengan daun di Persimpangan Jalan Kabus-Jalan Bintang, Kuala Ampang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, anggota bertugas di Balai Polis Hulu Kelang, menerima panggilan daripada lelaki memberitahu penemuan bayi itu pada jam 7 pagi tadi.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati bayi yang tidak dikenali bangsa itu masih bertali pisat dan beruri berada di dalam kotak itu sebelum terus dibawa dengan ambulans ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut.

"Tiada sebarang dokumen atau barang milik bayi ditemui dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu buang bayi yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Noor Azmi berkata, mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Zanariah di talian 0189604202 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Powered by Blogger.