Arahan henti perbaharui cukai jalan di pejabat pos dikaji semula


Kementerian Pengangkutan sedia meneliti semula arahan pemberhentian urus niaga pembaharuan cukai jalan membabitkan kenderaan persendirian 2,000 cc ke atas di pejabat pos Sarawak, Sabah, Pulau Langkawi dan Labuan yang berkuat kuasa semalam.

Menterinya, Anthony Loke, berkata satu pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid akan diadakan minggu ini untuk melihat sama ada arahan berkenaan wajar diteruskan.

“Ini cadangan JPJ, bukan arahan Menteri Pengangkutan.

“Saya faham JPJ bertindak demikian untuk mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan kerana ada kenderaan berdaftar di Semenanjung memperbaharui cukai jalan di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat DAP Miri, hari ini.

Loke berkata, JPJ mengesan ada pemilik kenderaan 2,000 cc ke atas dari Semenanjung mengambil kesempatan kadar cukai jalan murah di Sarawak dan Sabah dengan memperbaharui cukai jalan di pejabat pos kedua-dua negeri terbabit.

Pada masa sama, katanya, kepentingan masyarakat di Sarawak dan Sabah perlu diambil kira ini kerana memerlukan saluran yang banyak untuk memperbaharui cukai jalan berikutan ada sesetengah kawasan tidak mempunyai pejabat JPJ.

Loke berkata, ketiadaan pejabat JPJ di sesetengah kawasan di kedua-dua negeri itu akan menyukarkan proses pembaharuan cukai jalan bagi penduduk yang tinggal jauh dari lokasi pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Pengumuman Pos Malaysia mengenai arahan pemberhentian pembaharuan cukai jalan itu tersebar di media sosial minggu lalu.

Ia mendapat reaksi negatif netizen terutama yang tinggal di pedalaman Sarawak berikutan didakwa membebankan dari segi kewangan dan masa serta menambah kesesakan di pejabat JPJ dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Mengenai cadangan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) sempadan Malaysia dan Brunei, Loke berkata, ia masih dalam peringkat kajian.

Pada 25 April lalu, Ketua Pengarah JPJ mengumumkan cadangan melaksanakan VEP ke atas semua kenderaan asing di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sempadan Malaysia dan Brunei untuk memudahkan pemantauan kenderaan berdaftar dari negara luar memasuki negara ini.

Ia termasuk isu saman trafik dengan kertas cadangan akan diserahkan kepada Menteri Pengangkutan dalam tahun ini. – BERNAMA
Powered by Blogger.