Program Merdeka Community Bonding bermula di Putrajaya


Berikutan negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19, program-program sambutan Hari Kebangsaan ke-63 bersifat setempat digalakkan berbanding program peringkat nasional, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata sebagai contoh program Merdeka Community Bonding yang dilancarkan hari ini di Putrajaya anjuran Jabatan Penerangan (Japen) digalakkan kerana ia bersifat setempat dan tidak melibatkan penyertaan mereka dari zon luar.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran program itu oleh Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, di Perumahan Penjawat Awam Presint 14 yang melibatkan 870 unit rumah. Turut hadir Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Japen Mohd Aszahari Abdul Rahman.

Aminuddin berkata program seperti Merdeka Community Bonding itu meletakkan tanggungjawab pada pemimpin setempat untuk mengawal keadaan supaya tiada risiko penularan COVID-19 serta menyemarakkan semangat patriotisme masyarakat dalam kebiasaan baharu.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.