Tiga termasuk bayi baru lahir cedera dilanggar di hadapan lobi hospital


Dua wanita dan seorang bayi lelaki yang baru lahir cedera akibat dilanggar sebuah kereta di hadapan pintu lobi sebuah hospital swasta di Kota Damansara dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.46 petang, dua wanita dengan seorang daripadanya duduk di kerusi roda bersama bayinya sedang menunggu kenderaan waris di tempat mengambil dan menurunkan penumpang di hadapan lobi hospital terbabit.

Sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang berada berhampiran secara tiba-tiba memecut laju dan merempuh semua mangsa serta tiga kenderaan lain yang berada berhampiran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata ketika kejadian pemandu terbabit yang sedang menunggu anaknya keluar dari lobi hospital dikatakan tertekan pedal minyak sebaik ternampak anaknya keluar ke tempat menunggu.

"Kereta berkenaan kemudian merempuh ketiga-tiga mangsa serta tiga kereta lain yang turut berada di situ.

"Dua wanita masing-masing berusia 30 dan 35 tahun serta bayi lelaki berusia sehari cedera dalam kejadian itu. Semua mereka kini sedang dirawat di zon merah hospital berkenaan dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, empat kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu mengalami pelbagai kerosakan dan pemandu berusia 62 tahun itu kemudian ditahan untuk menjalani ujian saringan air kencing dan ujian alkohol sebelum keputusan mendapati kedua-duanya negatif.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Difahamkan, ketika kejadian pemandu berkenaan mahu mengambil anak perempuannya yang baru lepas bersalin di hospital berkenaan.

Lelaki terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi dan siasatan masih diteruskan. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.