Cara pembikinan karya sudah berubah


Pengarah Mamat Khalid berpendapat supaya semua penggiat seni akur dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan jika mahu aktif kembali melakukan penggambaran drama dan filem.

Mamat yang sering menghasilkan filem pecah panggung seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah dihubungi berkata, SOP ini berbeza mengikut keperluan penggambaran di dalam studio atau di luar (outdoor). 

"Pembikinan drama lain, manakala filem pula beza kaedahnya. Apapun, lokasi sebenarnya yang menentukan berapa ramai kru terbabit. 

"Dah tentu yang paling ramai kru adalah pembikinan filem. Untuk SOP 20 orang pada satu masa, memang cukup, tapi bagi saya  sesetengah filem memerlukan pembabitan lebih ramai kru lagi. 

"Namun, ramai pembikin karya  yang mengatakan mereka sanggup untuk ubah skrip bagi memenuhi kehendak SOP," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ini bermakna penerbit perlu mengelakkan babak penggambaran di tempat awam yang dikunjungi orang ramai.

"Kita kena jauhkan penggambaran dari tempat sebegitu. Saya sendiri ada filem yang ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan disambung selepas ini.

"Jalan cerita pun kena tukar ikut kehendak SOP dan pada saya itu cabarannya. Kita kena lebih kreatif berkarya dan jangan sesekali kata tak boleh. 

"Peningkatan kos memang akan ada dan ia berada di bawah tanggungan produksi. Tapi ia tak membabitkan kos terlalu tinggi. Kos mungkin rendah tapi keperluan itu sangat penting," katanya.

Menurutnya, menjadi kewajipan semua pihak daripada penerbit sehinggalah pekerja produksi untuk ikut sepenuh hati semua prosedur ditetapkan. 

"Semua yang terbabit perlu ikut untuk kebaikan," katanya.

Dalam pada itu, Mamat melahirkan perasaan gembira apabila filem Manap Karaoke yang disiarkan menerusi saluran Astro First sejak 7 Mei lalu mendapat sambutan baik daripada peminat.

"Dari perancangan siar di pawagam akhirnya ke digital dan saya dapati lagi ramai yang menonton cara ini.

"Lagipun cerita ini untuk segenap lapisan masyarakat dan saya dapat maklum balas orang ramai yang seronok dengan cerita ini.

"Pada saya, ini satu kejayaan terhadap produksi yang terbabit menghasilkan Manap Karaoke," katanya.

Mamat berkata, filem ini disiarkan   kena pada waktunya di mana penonton berada di rumah kerana PKP.

"Ia membantu memberi ruang hiburan kepada rakyat Malaysia. Saya lihat pendekatan masyarakat terhadap menonton dah lain.

"Konsep atau tema tayangan filem di pawagam mungkin lebih bebas tapi untuk di rumah, kena ada kesesuaian dengan keluarga. 

"Pada masa depan, kalau nak berkarya lagi dalam platform digital, saya harus fikirkan hiburan lebih kepada keluarga," katanya. 

Jelasnya lag, apabila sesebuah filem ditayangkan di rumah, sudah tentulah kanak-kanak dari umur empat tahun sehingga golongan dewasa termasuk lebih berusia akan menontonnya - HARIAN METRO
Powered by Blogger.