Norman tekad perjuang isu harta intelek


TIMBALAN Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Norman Abdul Halim tekad akan memperjuangkan isu berkaitan harta intelek melalui jawatan yang baru digalasnya dalam perbadanan itu.

Norman yang ditemui di majlis sidang media bersama pengerusi baru Finas berkata, itu akan menjadi satu isu yang dibangkitkan oleh pasukan baru Finas.

"Isu mengenai harta intelek dan hasil hak cipta akan terus diperjuangkan. Pada masa sama, kita akan cari penyelesaian bagaimana untuk melindungi harta intelek.

"Perkara yang paling kerap didengar adalah mengenai cetak rompak digital dan sekiranya kita huraikan, banyak perkara akan dapat dilihat dan diteliti," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, isu harta intelek memang tak pernah sepi daripada industri seni tanah air dan itu akan diperincikan lagi pada mesyuarat ahli perbadanan dalam masa terdekat ini.

"Kita akan perincikan lagi untuk merealisasikan hasil perbincangan ahli perbadanan kepada satu rancangan tindakan. Kita juga akan tetapkan satu jangka masa yang sesuai untuk mencapai objektif itu," katanya. - HARIAN METRO
Powered by Blogger.