8 ditahan bantu siasatan kes liwat, dera di rumah kebajikan


Polis menahan sepasang suami isteri yang juga pengendali sebuah rumah kebajikan untuk membantu siasatan kes liwat dan dera kanak-kanak didakwa berlaku di premis itu di Gombak, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pasangan itu dan anak saudara mereka ialah antara lapan individu yang ditangkap di sekitar kawasan rumah kebajikan terbabit, semalam, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kita menahan lapan individu, termasuk pasangan berkenaan dan anak saudara mereka, di sekitar rumah itu, semalam.

"Kesemua suspek akan direman hingga Ahad ini. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian," katanya pada BH, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan bahawa pasangan berkenaan dipanggil untuk dirakam keterangan, 5 Mei lalu, berhubung siasatan kes terbabit.

Selain itu, 36 kanak-kanak yang menetap di rumah berkenaan turut dilaporkan sudah memberi keterangan membabitkan isu sama.

Menurut laporan portal itu lagi, seorang wanita dikatakan tinggal di rumah terbabit selama 10 hari, mendakwa beberapa kanak-kanak berkenaan mengaku diliwat sejak beberapa tahun lalu.

Kanak-kanak terbabit juga didakwa akan dirotan oleh pasangan itu jika kerja rumah tidak disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.