Wang simpanan RM25,000 hangus dalam kebakaran rumah
Sebuah keluarga 10 beranak bukan saja kehilangan tempat tinggal, malah wang simpanan sebanyak RM25,000 turut hangus dalam kebakaran rumah sewa mereka di Jalan Nibong Stesen, Kampung Padang Jambu, di sini, petang tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden menimpa Ghazali Baru, 63, dan isteri, Normah Abu Bakar, 45, bersama lapan anak mereka itu.
Ghazali memaklumkan, beliau mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM25,000 daripada bank, dua hari lalu, bagi membuat persediaan menyambut Hari Raya serta dijadikan modal berniaga.
"Namun apabila saya rasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan disambung hingga selepas raya, saya mengambil keputusan mahu menyimpan semula wang itu ke dalam bank, hari ini.
"Bagaimanapun, saya tidak sempat berbuat demikian kerana sibuk," katanya sambil memaklumkan mereka turut gagal menyelamatkan sebarang harta-benda dalam insiden itu, ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika beliau sedang membersihkan persekitaran rumah, manakala lima anak berusia empat hingga 14 tahun sedang tidur.
"Ketika itu, isteri sedang membantu rakannya menjual kuih dan membawa bersama tiga lagi anak kami," katanya.
Ghazali berkata, beliau tiba-tiba terdengar beberapa letupan kecil sebelum melihat api sudah menyambar bahagian atap rumah.
"Saya terus berlari ke bahagian dapur rumah dan ternampak tong gas mengeluarkan api marak yang menjilat dinding rumah hingga bahagian atap.
"Saya kemudian masuk ke rumah dengan membasahkan kain selimut dan cuba menutup tong gas terbabit tetapi gagal.
"Api terus marak sehingga membakar keseluruhan rumah," katanya yang terpaksa meredah api untuk menyelamatkan anak bongsu sedang tidur di dalam sebuah bilik.
Ghazali memaklumkan, sejak beberapa hari lalu, hatinya seolah-olah tergerak untuk berpindah.
"Rupa-rupanya, rumah ini hendak terbakar.
"Buat masa ini, saya akan menumpang sementara di rumah saudara berdekatan sebelum menyewa kediaman lain," katanya yang tetap reda dan bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat dalam kebakaran itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab, berkata 10 anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
"Ketika tiba, api sudah marak membakar kediaman terbabit, namun anggota kami berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan.
"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 5.15 petang. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Post a Comment