Sindiket judi tumpas, 44 warga China ditahan
Polis menahan 44 warga China termasuk lapan wanita selepas menyerbu empat rumah banglo dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian dalam talian, di Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.
Menerusi serbuan bermula jam 12.30 tengah hari itu, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan kesemua suspek berusia antara 18 hingga 45 tahun.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zani Che Din, berkata sindiket perjudian itu menggunakan laman web http://pc260.com seperti Lucky Draw Canada 28, Beijing 28, dan Singapore 28.
"Sindiket itu memperdayakan pelanggan dengan mengatakan peluang untuk menang permainan itu adalah tinggi dengan menggunakan aplikasi WeChat dan 'QQ Messenger'.
"Kegiatan itu sudah beroperasi hampir enam bulan dan premis hanya digunakan untuk tujuan transaksi bayaran wang pertaruhan dipercayai dari China sahaja menggunakan mata wang negara itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Zani berkata, seunit banglo itu disewa dengan bayaran sebanyak RM7,000 sebulan dengan keuntungan sindiket keseluruhan berjumlah RM150,000 sehari.
"Enam set komputer, 17 laptop dan 75 telefon bimbit turut dirampas bagi membantu siasatan.
"Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) (a), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 selain Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1969 dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.
Post a Comment